Tuesday 29 November 2011

BUAT RENUNGAN

Empat Jenis Manusia

   Terdapat empat jenis manusia. Ada manusia yang mengetahui dan  tahu bahawa mereka
   mengetahui. Tanyalah (belajar) pada mereka. Ada manusia yang mengetahui dan tidak tahu
   bahawa mereka mengetahui. Mereka ini pelupa. Ingatkan mereka! Ada manusia yang tidak
   mengetahui dan tahu bahawa mereka tidak mengetahui. Mereka perlukan petunjuk. Ajarilah
   mereka. Dan ada manusia yang tidak mengetahui dan tidak tahu pula bahawa mereka tidak
   mengetahui. Mereka jahil. Hindarilah mereka!”
                                                                                         ~ Imam Al-Khalil bin Ahmad


PESAN BESTARI

 Cerita Empat Orang Pesalah
    Alkisah ada empat orang yang telah ditangkap kerana melakukan kesalahan jenayah yang
    sama dan dibawa ke hadapan seorang raja yang bijaksana. Raja memandang kepada  
    pesalah yang pertama dan bertitah, "Gantung dia." Kemudian baginda memandang kepada
    pesalah yang kedua lalu memerintahkan pesalah tersebut dipenjarakan seumur hidup. Setelah
    memandang kepada pesalah ketiga baginda bertitah, " Dia mesti dibuang negeri." Akhir
    sekali baginda memandang kepada pesalah yang keempat sambil bertitah, "Beta  tidak
    menyangka sama sekali kamu sanggup melakukan jenayah sekeji itu."

    Ketiga-tiga orang pesalah pun menjalani hukuman masing-masing, tetapi pesalah yang
    keempat itu kembali ke rumahnya dan keesokan paginya dia didapati telah meninggal dunia.
    Kata-kata raja tempoh hari kepadanya adalah jauh lebih berbisa daripada dijatuhi
    hukuman mati.
                                                                                                   ~ (Hazrat Inayat Khan)