Thursday, 16 June 2011

KAJIAN

ABSTRAK
Pengajaran bahasa dengan menggunakan komputer adalah antara kaedah pengajaran yang
dianggap bersesuaian dengan keperluan pendidikan kini. Penggunaan komputer dalam
pengajaran bahasa mampu mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru dan penguasaan
kemahiran bahasa pelajar. Persoalannya ialah sejauh manakah guru Bahasa Melayu (BM)
melaksanakan pengajaran menggunakan komputer dan tahap penguasaan guru serta kekangan
yang dihadapi. Maka kajian secara tinjauan ini meneliti tahap dan kekangan dalam
melaksanakan pengajaran bahasa menggunakan komputer. Di samping itu, kajian juga mengkaji
kekangan yang mengganggu pelaksanaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran.
Sampel kajian terdiri daripada 87 guru BM di sekitar daerah Hulu Langat, Selangor. Dapatan
kajian menunjukkan sampel kajian menguasai konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer
dan kebanyakan mereka telah mengikuti kursus asas komputer. Kursus yang berkaitan
penyediaan bahan pengajaran multimedia, penggunaan internet dan pembinaan laman web agak
kurang diberikan perhatian. Kesan pengajaran BM menggunakan komputer kepada pelajar agak
positif terutamanya kepada pelajar yang cerdas. Kekangan utama yang dihadapi oleh guru
dalam menjalankan pengajaran BM berbantukan komputer ialah guru kurang mahir
mengendalikan komputer untuk pengajaran dan pelajar kurang berminat dalam pembelajaran.


PENGENALAN

Dalam memperkatakan teknologi dalam pendidikan, Grove et al. (2004) menyatakan nilai
teknologi di dalam bilik darjah telah menimbulkan isu dan perdebatan dalam kalangan ahli
teknologi pendidikan. Teknologi telah dibuktikan dapat meningkatkan produktiviti, menambahkan
motivasi, menyokong pengajaran secara tidak langsung, kebolehan pengajaran yang bersifat
unik, dan meningkatkan literasi maklumat (Roblyer & Schwier, 2003). Justifikasi ini timbul di
dalam iklim kritikan berasaskan pelaburan yang besar dalam teknologi yang diragui
keberkesanannya (Cuban, 2001). Dalam hal ini, ahli teori telah meletakkan diri mereka sebagai
penyokong kepada perspektif yang menjurus kepada efektifnya penggunaan teknologi.
Dalam hal ini, Ertmer (1999) dan Hokanson & Hooper (2004) telah mengkaji penggunaan secara
efektif keperluan teknologi yang semakin bertambah dan ingin melihat cara guru menggunakan
teknologi dan sebab mereka menggunakannya. Mereka juga memfokuskan peranan utama
pendekatan pedagogi yang digunakan dalam pengajaran di bilik darjah. Terdapat beberapa isu
yang sering dikaitkan dalam pengajaran menggunakan komputer. Stallard (1998) dalam
kajiannya menyatakan bahawa keadaan yang menjadikan pengajaran tersebut tidak berkesan
ialah kurangnya persediaan guru untuk membangunkan pengajaran yang berbantukan komputer.
Di samping itu terdapat juga permasalahan dari segi hardware untuk perisian kursus, sikap guru,
pentadbir, latihan, galakan keluarga dan pengaruh komuniti yang mempengaruhi keberkesanan
pelaksanaan dalam bilik darjah (Moersch, 1995). 48 1st International Malaysian Educational Technology Convention

Pengajaran Bahasa Malaysia (BM) tidak terkecuali daripada pengaruh teknologi maklumat dan
komunikasi (TMK). Walaupun pelajaran BM hanya melibatkan penguasaan kemahiran bahasa
yang kelihatannya agak mudah untuk dikuasai, namun masih terdapat beberapa isu yang
dianggap boleh mengganggu keberkesanan pengajaran . Masalah tersebut termasuklah
penguasaan kemahiran asas BM seperti lisan, membaca dan menulis. Pada tahap yang lebih
tinggi, masih terdapat pelajar yang tidak dapat memahami teks yang dibaca dengan sempurna.
Di samping itu, pada tahap sekolah menengah, penguasaan menulis juga masih lagi perlu diberi
perhatian untuk memastikan objektif pengajaran BM tercapai.

Oleh hal yang demikian, penggunaan komputer dalam pengajaran BM dilihat sebagai satu usaha
yang sesuai untuk memberikan impak terhadap permasalahan yang dihadapi. Sebagai alat
bantu pengajaran yang terkini sifatnya, penggunaan komputer dilihat sebagai usaha yang mampu
mengubah persepsi pelajar terhadap pembelajaran BM. Guru BM sebagai pengendali
pengajaran, perlu mempunyai keterampilan dalam mengendalikan pengajaran bahasa berbantu
komputer. Walaupun terdapat kesukaran dalam melaksanakannya, guru perlu bersedia dengan
kemahiran dan pengetahuan selaras dengan keperluan pendidikan kini yang memerlukan
pengajaran lebih berpusatkan pelajar.

Oleh itu, kajian ini cuba mengkaji pemahaman guru BM terhadap konsep pengajaran bahasa
berbantukan komputer, tahap penguasaan komputer, kursus yang dihadiri, masalah yang
dihadapi dan penyelesaiannya.

Objektif kajian

1. Mengkaji sejauh manakah pemahaman guru BM terhadap konsep pengajaran bahasa
berbantukan komputer.
2. Mengkaji tahap penguasaan komputer dalam kalangan guru BM.
3. Mengkaji persepsi guru terhadap penggunaan komputer dalam pengajaran BM.
4. Mengkaji masalah yang dihadapi oleh guru BM dalam mengaplikasikan komputer
dalam pengajaran.


No comments:

Post a Comment